KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bakal menyantuni kumpulan sasaran yang rata-ratanya berada di luar bandar menerusi pelbagai program yang bersesuaian, tahun ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan tambahan di luar belanjawan sebanyak RM1 bilion yang bakal diagihkan kepada hampir 15,000 kampung.
“Melalui arahan Perdana Menteri, peruntukan tersebut bakal diagihkan sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 setiap kampung untuk meningkatkan lagi program-program ekonomi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sidang akhbar hala tuju strategik KKDW, selepas merasmikan Program Bengkel Permukiman KKDW 2024 di Hotel Seri Pacific, di sini hari ini.
Tambah Zahid yang juga merangkap Menteri KKDW, sebagai langkah awal, pihaknya juga telah mengambil keputusan untuk menguniformkan pegawai di bawah kementerian tersebut dengan kolaborasi bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Kami telah menyarankan agar hampir 64,000 pegawai di seluruh peringkat seperti ketua kampung, tok batin dan sebagainya agar diuniformkan dan diberi latihan oleh APM.
“Transformasi ini bertujuan untuk mewujudkan rasa kebersamaan di kalangan kepimpinan atasan sehingga ke akar umbi,” jelasnya.
Zahid berkata, KKDW juga bakal mengeratkan kerjasama dengan pihak-pihak lain untuk mengelakkan kementerian bekerja secara silo demi melakukan penjimatan dalam perbelanjaan.
“Kami juga ingin mengelakkan pertindihan program, terutamanya dalam bidang keushawanan.
“Buat masa ini, kami sedang melakukan perancangan dan penyelarasan agar matlamat asal dapat dicapai dan sebarang pertindihan program dengan agensi lain tidak lagi berlaku pada masa hadapan,” tambahnya.
Menurut beliau, kira-kira 8.05 juta penduduk Malaysia yang merangkumi 24.7 peratus perlu dilibatkan dengan projek-projek tertentu terutamanya dari segi infrastruktur, liputan 5G dan juga dalam aspek pendidikan dan keusahawanan serta industri mikro, kecil dan sederhana.
Zahid berkata, program pemukiman yang telah dijalankan buat kali kedua tersebut merupakan kesinambungan daripada program tahun lalu.
“Pada tahun lepas, kita telah berjaya melaksanakan 38 program utama yang meliputi isu-isu modal insan, ekonomi, infrastruktur dan keushawanan serta beberapa transformasi lain.
“Kali ini, KKDW memfokuskan pada enam bidang utama iaitu ekonomi dan keusahawanan, pengukuhan tadbir urus dan kemampuan agensi serta anak syarikat, bidang pendidikan, infrastruktur dan teknologi, kepimpinan desa dan tatakelola dan sistem pencapaian,” jelasnya.
Tambahnya, sepanjang tiga hari program pemukiman tersebut berlangsung, sebanyak 62 cadangan baharu akan dilaksanakan tahun ini dan bakal dinilai semula pada bulan Julai akan datang. – KOSMO! ONLINE