PETALING JAYA – Selepas mencetuskan tanda tanya apabila mengucapkan ‘terima kasih’ atas penganiayaan terhadapnya, bekas penyampai Suria FM, Tyzo meluahkan kekesalan hati tidak rela disingkirkan daripada stesen radio berkenaan.
Pemilik nama sebenar Tuah Zolqarnain itu menyifatkan penyingkiran berkenaan sebagai harga yang terpaksa dibayar, impak kemenangan meraih anugerah Penyampai Radio Popular dalam Anugerah Bintang Popular pada Julai lalu.
“Saya minta maaf, ini bukan keputusan saya. Saya masih lagi mahu bekerja. Saya punya anak, tapi ini bukan kehendak saya.
“Inilah harga yang perlu saya bayar untuk sebuah kemenangan Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35),” katanya dalam hantaran Facebook.
Figura penyiaran yang sudah lapan tahun berkhidmat dengan Suria FM itu juga meminta tiada lagi individu atau pihak memutarbelitkan fakta mengenainya.
“Selepas ini mohon tiada pihak ‘spin’ (pusing) cerita, olah ayat, tuduh ‘diva’ demi menutup aib. Hanya yang pernah lalui sahaja tahu sakitnya,” ujarnya.
Hantaran video dimuat naik di IG sekitar pukul 2 pagi iaitu beberapa jam selepas pihak Suria FM mengumumkan khidmatnya berakhir sudah meraih lebih 200,000 tontonan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi.
Begitupun, dia tidak menjelaskan punca sebenar selain hanya memaparkan trofi yang dimenanginya pada ABP ke-35 sebelum berjalan meninggalkan konti radio Suria FM.
Menerusi bayangan yang diberi, netizen mensyaki Tyzo dianiaya sehingga dipecat sedangkan sudah lebih lapan tahun menghiburkan pendengar.
Penyampai berpengalaman lebih dua dekad dalam bidang penyiaran turut memohon maaf kepada pendengar segmen Suria Petang termasuk gandingannya, Shiera kerana terpaksa akur meninggalkan stesen terbabit.
“Jutaan maaf kepada seluruh pendengar Suria Petang. Buat kak Rara (Shiera), saya akan rindukan bekerja dengan akak. Saya tidak reda pemergian ini.
“Tapi apa daya saya, saya tiada kuasa, saya tiada pilihan. Saya harus pergi, maafkan saya. Selamat tinggal… Suria,” tulisnya.
Semalam, Suria FM mengumumkan khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang, berakhir atas alasan sebagai strategi untuk tahun 2024.
Susulan itu ramai pendengar setia menzahirkan rasa tidak puas hati sehingga ada yang mahu memboikot Suria FM.- KOSMO! ONLINE