PETALING JAYA – Pelakon jelita Zahirah Macwilson sehingga kini masih dengan pendiriannya untuk tidak memulangkan paku buah keras berhubung konflik yang sengaja dicetuskan oleh aktres sensasi, Fatiya Latiff sejak beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, menerusi hantaran dalam InstaStory miliknya, Zahirah, 29, berkongsi rasa syukur atas segala nikmat kehidupan yang dikurniakan Allah SWT.
“Alhamdulillah untuk segalanya. Terdapat banyak perkara untuk disyukuri dengan air mata kegembiraan. Terima kasih Allah Yang Satu untuk segala-galanya,” kongsi Zahirah.
Hantaran yang dikongsikan isteri kepada pelakon, Aiman Hakim Ridza itu bagaimanapun dipercayai tiada kaitan dengan isu bersama Fatiya yang masih lagi hangat diperkatakan sehingga hari ini.
Difahamkan, Zahirah meluahkan rasa syukur apabila diberikan rezeki untuk mengubah suai kediamannya.
Dalam hantaran berbeza, Zahirah berkongsi kerja-kerja menyiapkan kolam renang sedang dijalankan di kediaman baharunya yang turut bakal dilengkapi dengan ‘lounge’ secara terbuka.
Bahkan, kediaman miliknya itu nanti juga akan dilengkapi dengan bilik teater untuk bersantai bersama keluarganya.
Sejak 8 Januari lalu, Fatiya mengejutkan ramai apabila sewenang-wenangnya melabel wajah Zahirah seperti pembantu rumah dan menuduh aktres itu melakukan pembedahan plastik pada bibir.
Keadaan semakin panas hari ini apabila Fatiya atau nama lengkapnya Nur Fatiya Abdul Latiff, 36, memuat naik foto bersama bekas kekasihnya iaitu Aiman yang kini sudah bergelar suami Zahirah.
Namun, tindakan bijak Zahirah terus mengunci mulut tanpa melakukan serangan balas terhadap Fatiyah meraih pujian netizen yang menyifatkan dirinya sebagai wanita ‘mahal’ dan tidak mudah melenting hanya disebabkan provokasi tidak berasas. – KOSMO! ONLINE