fbpx

Harimau Malaya mampu beri kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PADA tengah malam semalam, bermulalah perlawanan pertama Piala Asia 2023 membabitkan pertemuan pasukan tuan rumah, Qatar menentang Lebanon di Stadium Lusail.

Meskipun kejohanan empat tahun sekali itu berlangsung nun jauh di benua Asia Barat, namun kehangatannya turut dirasai oleh para peminat bola sepak tanah air.

Apa tidaknya, selepas hampir empat dekad menunggu, akhirnya pasukan Harimau Malaya boleh berbangga apabila layak ke Piala Asia secara merit (melepasi pusingan kelayakan).

Hakikatnya, pada tahun 2007, negara turut layak ke Piala Asia apabila menjadi tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Pada edisi tersebut, pasukan negara gagal melepasi peringkat kumpulan apabila kalah teruk dalam ketiga-tiga perlawanan iaitu 5-1 kepada China, 5-0 (Uzbekistan) dan 2-0 (Iran).

Pastinya, ramai peminat sukan bola sepak di Malaysia berharap peristiwa hitam itu tidak berulang lagi pada kejohanan kali ini.

Tambahan pula, ‘mood’ pasukan Harimau Malaya ketika ini berada pada tahap terbaik selepas berjaya mencatatkan beberapa keputusan positif sebelum berlepas ke Qatar pada 1 Januari lalu.

Terbaharu, skuad negara berjaya mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika pertemuan dengan Syria dalam satu perlawanan tertutup pada Isnin lalu.

Penulis berharap, momentum tersebut berjaya dibawa oleh anak-anak buah Kim Pan-gon sehingga perlawanan pertama Kumpulan E bertemu Jordan pada awal pagi Rabu ini.

Selain Jordan, Malaysia dijadual bertemu Bahrain pada 20 Januari dan Korea Selatan (25 Januari). Di atas kertas, peluang pasukan negara dilihat agak tipis untuk layak ke pusingan seterusnya.

Bagaimanapun, dalam bola sepak segalanya boleh berlaku. Pasukan Harimau Malaya boleh mengambil semangat skuad Maghribi pada Piala Dunia 2022.

Siapa sangka pasukan dari benua Afrika itu berjaya mengetepikan beberapa negara kuasa besar bola sepak seperti Belgium, Sepanyol dan Portugal.

Pada pendapat penulis, pasukan Harimau Malaya perlu mencuri mata pada pertemuan dengan Jordan dan Bahrain memandangkan ranking kedua-dua pasukan tersebut tidak jauh beza dengan skuad negara.

Bagaimanapun, pasukan negara masih boleh bermimpi untuk sekurang-kurangnya seri bertemu Korea Selatan, seandainya skuad Jurgen Klinsmann itu layak awal dan menurunkan barisan pemain simpanan.

Bagaimanapun, penyokong disaran supaya tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi untuk skuad negara pada kempen Piala Dunia 2023. Sasaran dan harapan besar ini dibimbangi akan memberi tekanan kepada pasukan negara ketika turun beraksi.

Jangan kita jadi seperti segelintir penyokong Indonesia yang dari awal-awal melaungkan keyakinan mampu menjadi juara Piala Asia 2023 selepas berjaya merekrut beberapa pemain warisan dari Liga Perdana Inggeris dan Liga Belanda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI