BANJUL, Gambia – Sebuah pesawat yang menuju ke Ivory Coast dan membawa pemain pasukan bola sepak Gambia berpatah balik beberapa minit selepas berlepas dan mendarat cemas di lapangan terbang Banjul, lapor portal berita Wion News semalam.
Bekas pemain kelab bola sepak Manchester United, Celtic and Nottingham Forest, Saidy Janko berkongsi video kejadian ‘menakutkan’ itu di laman sosial rasminya.
Video itu menunjukkan penumpang-penumpang berpeluh ketika menaiki pesawat itu kelmarin bagi menyertai kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
“Sejurus selepas memasuki kapal terbang yang disewa khas untuk membawa kami, kami menyedari suhu panas sehingga menyebabkan kami berpeluh.
“Kru pesawat kemudian menjelaskan bahawa sistem pendingin udara akan dihidupkan semula sebaik kami berada di ruang udara,” katanya.
“Panas yang tidak munasabah itu ditambah dengan kekurangan oksigen, menyebabkan ramai penumpang mengalami sakit dan pening kepala. Ramai juga penumpang mula tertidur selepas pesawat berlepas.
“Ketika berada di ruang udara, keadaan menjadi lebih buruk. Ini menyebabkan juruterbang tiada pilihan lain kecuali mendarat cemas di lapangan terbang Banjul sembilan minit selepas ,” katanya.
Dalam pada itu, Persatuan Bola Sepak Gambia menyatakan rasa kesal kerana pesawat itu terpaksa berpatah balik kerana masalah teknikal.
Menurutnya, syarikat penerbangan terbabit masih melakukan siasatan bagi mengetahui punca berlakunya masalah kekurangan oksigen.
“Ketika mendarat, siasatan awal mendapati bahawa terdapat kehilangan tekanan dalam kabin dan kekurangan oksigen,” demikian menurut syarikat penerbangan berkenaan.