PETALING JAYA – Seorang penyewa sebuah rumah didakwa telah tinggal secara percuma selama lebih empat tahun tanpa sebarang bayaran sewa kepada pemilik.
Perkara itu didedahkan seorang perunding hartanah, Rubi Hasman ketika dia bercadang membuat bidaan rumah lelong, namun tidak memberitahu lokasi kediaman terbabit.
“Sebelum masuk ‘bidaan’, kami pergi tengok rumah. Bila pusing-pusing nampak rumah masih ada orang duduk.
“Suami saya bagi salam. Ada satu susuk tubuh yang keluar. Sembang punya sembang, rupanya dia adalah penyewa. Pemilik dah lama menghilang. Dia pun dah lebih empat tahun tak bayar sewa,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Lebih mengejutkan, Rubi berkata, selepas menang bidaan rumah, penyewa tersebut meninggalkan tuntutan bil elektrik yang tertunggak berjumlah lebih RM21,000.
“Selepas menang bida, kami datang jumpa penyewa untuk bincang beberapa perkara dan dia setuju untuk keluar dalam tempoh dua bulan lagi.
“Selepas dia keluar, dia tinggalkan kami bil elektrik dengan harga RM21,000. Entah apa lah yang dibuatnya,” ujarnya.
Bagaimanapun, kata Rubi, pembelian ke atas rumah itu tidak menjejaskan pihaknya kerana syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan mengetepikan bil berkenaan berikutan ia rumah lelong.
“Sekadar makluman, TNB tak potong elektrik sebab pagar sentiasa berkunci bila datang rumah ini. Mereka tak ada hak untuk menceroboh rumah. Dah cuba hubungi pemilik tapi tak pernah berangkat.
“Namun untuk kes ni, yang merana adalah pemilik rumah kerana dia perlu melangsaikan hutang tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE