AR-RAYYAN – Penyerang naturalisasi dari Uruguay, Bruno Fornaroli menjadi pertaruhan utama Australia untuk merobek gawang India menjelang aksi pertama Kumpulan B di Stadium Ahmed bin Ali hari ini.
Walaupun Fornaroli baru mempunyai dua kaps antarabangsa bersama Socceroos, tetapi penyerang berusia 36 tahun itu dilihat berada pada tahap terbaik apabila mengumpul 13 gol daripada 10 aksi dengan Melbourne Victory musim ini.
Jurulatih Australia, Graham Arnold percaya kehadiran bekas penyerang Sampdoria dan Panathinaikos itu akan menambah sengat jentera serangannya dalam misi bergelar juara selepas kali terakhirnya melakukannya pada 2015 di laman sendiri.
“Bruno (Fornaroli) mengharungi kempen yang cukup menakjubkan, jadi dia berhak berada di sini. Kehadirannya memberi sesuatu yang berbeza kepada pasukan dan saya percaya dia akan menjalankan tugasnya dengan baik.” katanya.
Selain itu, Australia turut menyandarkan harapan kepada tonggak pertahanan kelahiran Scotland, Harry Souttar yang kini mewakili Leicester City dalam saingan Liga Kejuaraan Inggeris.
Biarpun masih belum diturunkan Leicester pada musim ini, namun Souttar, 25, memiliki rekod cemerlang setiap kali beraksi di pentas antarabangsa dengan 10 gol daripada 21 perlawanan bersama Australia.
Arnold menjelaskan, ini adalah peluang terbaik buat Souttar yang akan bergandingan dengan pemain pertahanan tengah Ipswich Town, Cam Burgess, membuktikan kemampuannya untuk kembali mendapat tempat di Leicester selepas ini.
Selepas bertemu India, Australia akan meneruskan saingan Kumpulan B menentang Syria (18 Januari) diikuti Uzbekistan pada 23 Januari ini. – AFP