BALIK PULAU – Petugas masjid terdiri ahli jawatankuasa dan kariah Masjid Ridwaniah di Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini bertugas selama 24 jam sepanjang gangguan air di kawasan itu, sejak Rabu lalu.
Siak Masjid Ridwaniah, Rosli Hashim berkata, petugas-petugas masjid berkenaan akan membantu mengagihkan air dari tangki flexi yang diletakkan di luar masjid berkenaan kepada penduduk setempat.
Katanya, cara itu lebih memudahkan orang ramai untuk mengambil air memandangkan kawasan tersebut menjadi tumpuan pelbagai golongan untuk mendapatkan bekalan air.
“Sepanjang gangguan air berlaku, petugas masjid secara sukarela bertugas 24 jam membantu orang ramai mengagihkan air dari tangki flexi, mereka akan mengisi air ke dalam botol atau baldi yang dibawa penduduk.
“Ada penduduk yang datang dari Bayan Lepas, Sungai Ara datang mengambil air di sini kerana kawasan mereka sudah kehabisan air,” katanya di sini, hari ini.
Mulai 10 Januari sehingga 14 Januari, kira-kira 590,000 pengguna air di negeri ini termasuk pengguna bukan domestik di semua kawasan perindustrian utama mengalami gangguan bekalan air. – KOSMO! ONLINE