KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia mampu memberi kelebihan kepada skuad negara dalam usaha mempertahankan kejuaraan menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) di Shah Alam, Selangor bulan depan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky percaya pemain No.11 dunia itu masih merupakan pemain terbaik negara biarpun sedang berdepan aksi tidak menentu ketika ini.
Selain itu, Zii Jia juga sentiasa menunjukkan prestasi cukup baik setiap kali menggalas tugas dalam aksi berpasukan, sekali gus mampu menjadi inspirasi kepada rakan sepasukan yang lain.
“Sebagai tuan rumah, sudah tentu kita mahu menampilkan pasukan terbaik, jadi kita perlu memilih pemain terbaik ke BATC. Buat masa ini, Zii Jia adalah yang terbaik untuk bersama pasukan.
“Dia juga memiliki rekod cukup baik dalam kejohanan-kejohanan berpasukan dan sudah tentu ia mampu memberi motivasi kepada pemain-pemain lain untuk menampilkan aksi terbaik di dalam gelanggang,” katanya.
Terdahulu, pemain yang bernaung di bawah Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) itu mengesahkan menerima pelawaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas misi negara pada BATC di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC), Shah Alam nanti.
Pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan, aksi di BATC sebagai peluang kedua beraksi di laman sendiri selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil Rabu lalu.
Selain Zii Jia, antara nama yang disahkan akan memikul tanggungjawab dalam acara perseorangan lelaki nanti adalah Ng Tze Yong, Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Eogene Ewe.
Dalam pada itu, Rexy turut memberitahu, beregu lelaki profesional, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tidak dapat memberikan komitmen mereka pada BATC nanti selain belum pasti sama ada mahu menyenaraikan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
“Saya sudah menghubungi jurulatih Rosman Razak dan memahami situasi dialami mereka. Rosman memaklumkan kecederaan (lutut) Ee Yi masih belum pulih sepenuhnya selain perancangan awal mereka tahun ini adalah untuk menyertai empat kejohanan.
“Sekiranya bermain di BATC, bermakna tiada rehat untuk mereka dan mungkin mengundang risiko kecederaan yang pernah dialami Ee Yi, lebih-lebih lagi mereka dalam situasi belum selamat untuk layak ke Sukan Olimpik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE