fbpx

Dokumentari ‘Man On The Run’ berat sebelah, propaganda – Muhamad Akmal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster kenyataan Dr. Muhamad Akmal berhubung tayangan dokumentari 'Man On The Run' pada platform Netflix.

PETALING JAYA – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) mengutuk penyiaran dokumentari berjudul ‘Man On The Run’ yang sedang ditayangkan di saluran Netflix.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh mendakwa, Pemuda UMNO mendapati ‘Man On The Run’ sebuah dokumentari yang bersifat propaganda dan berat sebelah.

“Tanpa mahu menafikan kebebasan media mahupun kebebasan bersuara, Pemuda UMNO melihat kandungan dan kupasan menerusi wawancara terhadap beberapa pihak dalam dokumentari ini menyatakan pelbagai perkara terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ia antara lain bersifat fitnah, subjudis, prejudis dan berat sebelah sekali gus melanggar nilai kebebasan bersuara yang diberikan,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Muhamad Akmal mendakwa, Pemuda UMNO malah mendapati ada kandungan dalam dokumentari ‘Man On The Run’ yang bersifat melampau seperti mengaitkan Najib terlibat dengan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan Kelvin Morais.

Dakwa beliau lagi, penyiaran kandungan itu suatu bentuk ‘trial by media’ tatkala Najib masih berhadapan perbicaraan mahkamah dan mempunyai niat jahat membentuk persepsi yang negatif ke atas Najib.

“Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak di dalam dokumentari ini juga merupakan suatu penghinaan kepada prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan ini merupakan suatu isu yang perlu dipandang secara serius oleh semua pihak.

“Sehubungan itu, Pemuda UMNO menggesa Menteri Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Netflix untuk mengeluarkan dokumentari terbabit secepat mungkin,” katanya.

Tambah beliau, setiap individu dilindungi undang-undang dan selagi mana seseorang itu belum dibuktikan bersalah di mahkamah, adalah salah untuk pihak-pihak menjustifikasikan individu tersebut bersalah.

Kata beliau, Pemuda UMNO memegang teguh prinsip integriti dan hak demokrasi, maka menyeru semua pihak menghormati dan memelihara setiap kepentingan individu seperti dimaktubkan dalam nas perundangan negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI