MELAKA – Kira-kira 120 peniaga di Uptown Pahlawan Walk, Banda Hilir di sini akan berpindah ke lokasi baharu bermula hari ini (Jumaat).
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, kesemua peniaga terlibat akan berniaga dari hadapan Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hingga ke premis makanan segera McDonald’s Dataran Pahlawan.
Menurutnya, para peniaga telah bersetuju meninggalkan lokasi lama di Plaza Mahkota dan berniaga di lokasi baharu setiap Jumaat hingga Ahad iaitu sepanjang pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.
“Penganjur telah berjumpa dengan saya meminta mereka ditempatkan ke lokasi baharu dan bukan lagi di Plaza Mahkota yang sejak bertahun lama mereka bertapak di sana. Mereka merayu berpindah ke lokasi baharu ekoran berlaku pergaduhan antara pemilik bangunan di Plaza Mahkota dengan peniaga di Uptown Pahlawan Walk baru-baru ini.
“Jadi MBMB telah mencadangkan lokasi baharu, peniaga mula berniaga dari Muzium TLDM hingga lepas Menara Taming Sari dan mereka telah bersetuju,” katanya kepada pemberita. – KOSMO! ONLINE