IPOH – Perintah tahanan reman terhadap pasangan suami isteri yang disyaki terlibat dalam kes penyelewengan kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM9.62 juta, dilanjutkan tiga hari lagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, tempoh reman sehingga Isnin ini dikeluarkan terhadap lelaki berusia 50 tahun dan isteri berusia 53 tahun itu, setelah reman terdahulu berakhir hari ini.
Katanya, kedua-dua suspek sebelum ini direman selama tujuh hari sejak Sabtu lalu.
“Reman disambung tiga hari lagi sehingga 15 Januari ini,” katanya di sini hari ini.
Menerusi laporan media pada 4 Januari lalu, polis menjalankan siasatan ke atas sebuah syarikat yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat MAIPk selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, siasatan dijalankan selepas syarikat itu dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.
Jelasnya, kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat bagi tahun lepas di mana dua kes direkodkan di Selangor diikuti satu kes di Terengganu dan Perak.
Berikutan pendedahan itu, dua suspek yang juga suami isteri ditahan di Kuala Lumpur pada pukul 12.35 tengah hari pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE