KUALA SELANGOR – Penduduk Kampung Bukit Hijau di sini, dikejutkan dengan fenomena pelik rumpai yang mengeluarkan bunga berwarna kuning di parit kawasan berkenaan sejak minggu lalu.
Bunga di parit sepanjang lebih satu kilometer (km) di Jalan Rizab Derahman itu bukan saja menarik perhatian malah airnya lebih jernih berbanding sebelum ini.
Penduduk, Norman Hambali, 63, berkata perkara itu mula disedari selepas paras air parit berkenaan naik pada bulan lepas dan danggap pelik kerana kali pertama berlaku sejak dia menetap di kampung berkenaan lebih 60 tahun lalu.
“Secara kebiasaannya, keadaan parit di kampung ini hanya dipenuhi rumput panjang dengan air yang keruh. Namun, ia kini dipenuhi bunga kuning yang tumbuh daripada rumpai atau lumut selain amat jernih sehingga turut menampakkan ikan dengan jelas,” katanya ketika ditemui di lokasi berkenaan hari ini.
Bagi Aiman Fikri Muhamad Nor, 22, dia turut terkejut melihat keadaan parit di hadapan kediamannya sejak awal bulan ini.
“Saya tidak mengetahui spesis bunga itu dan sudah membuat rujukan di internet mengenainya. Jumlah bunga itu semakin bertambah sejak minggu lalu dan tidak menimbulkan apa-apa kesan bahaya kepada penduduk setakat ini,” ujar peniaga roti itu.
Sementara itu, penduduk, Azlianty Ahmad, 45, berkata kawasan berkenaan kini mula dikunjungi orang ramai yang mahu merakam gambar dan video.
“Bagi saya, bunga itu bukan saja cantik malah menjadikan kawasan parit berkenaan lebih bersih dan indah,” katanya. – KOSMO! ONLINE