PETALING JAYA – Pelakon jelita kelahiran Singapura Atikah Suhaime mengakui berdebar menanti detik pernikahannya dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh di Kuala Lumpur pada 21 Januari depan.
Menurut Atikah, 33, momen paling dinanti-nantikannya ialah majlis akad nikah yang bakal menyaksikan dia akan bergelar isteri secara sah kepada Lokman.
“Alhamdulillah saya sudah bertunang Disember tahun lalu, cuma baru kongsi hari ini.
“Perasaan saya bercampur-baur ketika ini. Ditambah pula saya orang Singapura dan berkahwin dengan orang Malaysia, rasa itu sukar untuk diterjemahkan.
“Saya pula seorang yang rapat dengan keluarga di Singapura, jadi memang rasa sebak sebab selepas ini prioriti adalah suami. Insya-Allah saya akan cuba membiasakan diri,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.
Mengulas lokasi pernikahan yang diadakan di Kuala Lumpur dan bukannya di Singapura, dia menjelaskan perkara tersebut adalah atas persetujuan bersama kedua-dua belah keluarga.
“Majlis perkahwinan memang sudah dirancang di Kuala Lumpur dan menghimpunkan kedua-dua belah keluarga.
“Kami memilih Kuala Lumpur juga kerana keadaan kesihatan nenek Lokman yang kurang sihat.
“Insya-Allah esok saya akan adakan kenduri marhaban pengantin di kediaman di Singapura,” ujarnya seraya memberitahu persiapan perkahwinannya kini sekitar 95 peratus.
Dalam pada itu, dia yang popular menerusi drama Dendam Cinta Arissa itu memberitahu, setiap tawaran lakonan perlu mendapat keizinan suami selepas berkahwin kelak.
“Isu kerja juga antara perkara perlu disesuaikan dengan status sebagai isteri nanti.
“Sebelum ini suka hati nak terima mana-mana tawaran dan hanya berbincang dengan pengurus tetapi selepas ini perlu minta pandangan suami serta minta izin.
“Bakal suami memang tidak halang saya berlakon tetapi setiap watak dan jadual perlu ikut kesesuaian,” jelasnya.
Terdahulu, hubungan Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Mohd. Suhaime dengan Lokman bukan lagi rahsia dan dakwaan mereka bakal mendirikan rumah tangga tercetus selepas dia memuat naik foto hadir ke kursus kahwin sekitar November lalu. – KOSMO! ONLINE