PARIS – Perdana Menteri Perancis, Gabriel Attal melantik ‘bekas suaminya’ Stephane Sejourne sebagai Menteri Luar negara berkenaan semalam, lapor portal berita RT.
Pelantikan Sejourne dibuat selepas Attal, 34, dilantik oleh Presiden Emmanuel Macron sebagai Perdana Menteri paling muda dalam sejarah Perancis pada Selasa lalu.
Sejourne, 38, mengetuai Pari Renaissance yang turut dianggotai oleh Macron. Beliau menggantikan Catherine Colonna dalam rombakan Kabinet berikutan peletakan jawatan Perdana Menteri, Elisabeth Borne pada Isnin lalu.
Sejoune menyertai pasukan Macron sehingga beliau memenangi pilihan raya Presiden Perancis pada 2017.
Attal sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan dan pernah menjadi jurucakap Parti Renaissance yang sebelum ini dikenali sebagai La Republique en Marche pada 2018.
Beliau menyertai pasukan Macron selepas dua tahun meninggalkan Parti Sosialis.
Attal dan Sejourne menjalin hubungan secara rasmi pada 2017 dan mengumumkan secara terbuka hubungan mereka setahun kemudian.
Attap mengakhiri penyatuan sivil dengan Sejourne tahun lalu untuk mengelakkan percanggahan kepentingan, namun status sebenar hubungan mereka tidak dapat dipastikan. — AGENSI