PETALING JAYA – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya membuka mulut apabila mengumumkan bahawa dirinya kini sedang hamil anak kedua seperti yang hangat diperkatakan dalam media sosial sejak akhir-akhir ini.
Siti yang sedang hamil empat bulan mengumumkan berita gembira berkenaan semasa majlis pelancaran produk BeauSitiXWonderLab secara maya sebentar tadi.
“Ramai yang membuat andaian sebelum ini tentang kehamilan saya. Hari ini adalah hari yang sesuai untuk untuk dikongsikan bersama peminat.
“Alhamdulillah saya dan suami mahu berkongsi kepada anda, memang benar saya hamil anak kedua,” ujar isteri kepada Datuk Khalid Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K itu bernada ceria.
Pada masa sama, pelantun lagu Siapa Tak Mahu itu turut memohon doa daripada peminat supaya kehamilan keduanya kali ini sihat dan kuat sehingga waktu bersalin nanti.
“Ada sebenarnya yang dah boleh agak bahawa saya hamil. Ada juga yang berteka-teki sebab saya mendiamkan diri.
“Dengan cuaca dan keadaan sekarang yang tidak berapa mengizinkan, saya lebih selesa duduk di rumah. Alhamdulillah doakan semoga kehamilan saya diberi kesihatan dan kekuatan. Semoga saya dikurniakan seorang zuriat yang sihat dan sempurna,” katanya lagi.
Datuk K yang turut hadir pada majlis pelancaran tersebut turut mengesahkan usia kehamilan isterinya sudah memasuki empat bulan.
“Pertama sekali kami berasa bersyukur kehadrat Ilahi apabila dapat tahu akan menimang seorang lagi cahaya mata,” ujarnya ringkas.
Sementara itu, Siti turut mengumumkan berita gembira tersebut dalam Instagramnya dengan memuat naik fotonya berwarna hitam putih.
Dalam foto tersebut, Siti memakai kebaya bercorak bunga dan sambil memegang bahagian perutnya yang semakin membesar.
Rata-rata pengikutnya melahirkan perasaan teruja dan gembira dengan pengumuman tersebut.
Sepanjang minggu lalu, kecoh dalam media sosial apabila tular sebuah video dalam InstaStory Siti menampakkan baby bump penyanyi itu yang semakin jelas kelihatan.
Kelmarin juga, tular sekeping foto yang dimuat naik oleh bekas isteri Datuk K, Datin Tengku Zawiyah Tengku Izham, memperlihatkan penampilan terbaharu Siti yang kelihatan berisi.
Malah, kelakuannya yang mengusap-usap bahagian perut menguatkan lagi andainya spekulasi kehamilan anak keduanya.