LIVERPOOL – Darwin Nunez sekali lagi menyerlahkan impak besar buat Liverpool selepas muncul pencetus kebangkitan ketika menewaskan Fulham 2-1 pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi semalam.
Khabar itu memberikan keyakinan buat pengurus The Reds, Jurgen Klopp kerana percaya tidak berdepan masalah dengan posisi serangan walaupun kini kehilangan khidmat Mohamed Salah yang mewakili Mesir pada Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).
“Dia (Nunez) beraksi dengan cukup baik dan banyak perkara yang saya sukakan dalam perlawanan ini. Tahun pertama adalah fasa menyesuaikan diri, tetapi masih mampu menjaringkan gol dan sekarang dia menyumbangkan sesuatu dalam semua perlawanan.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan situasi Darwin. Saya gembira dengan reaksinya, tetapi dia tidak boleh terus dihimpit tidak bernasib baik setiap kali ada peluang.
“Dia sudah melakukan segala-galanya, namun bola masih tidak menerjah jaring. Namun, dia menjadi pencetus kepada dua jaringan ini. Untuk saya, semua itu adalah sesuatu yang begitu istimewa,” kata Klopp.
Fulham terlebih dahulu berada di depan menerusi Willian, namun selepas Nunez dimasukkan pada minit ke-56, penyerang Uruguay itu berjaya mencipta bantuan kepada jaringan Curtis Jones dan seorang lagi pemain gantian, Cody Gakpo.
Dalam semua pertandingan musim ini, 15 gol dan 15 bantuan jaringan Liverpool adalah terhasil daripada impak pemain gantian iaitu statistik yang lebih baik berbanding pencabar-pencabar lain di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Daripada jumlah itu sahaja menyaksikan Nunez berjaya merekodkan tiga gol dan empat bantuan jaringan, sekali gus melegakan Klopp yang kini kehilangan ramai pemain kerana masalah kecederaan dan tugasan antarabangsa. – AGENSI