PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan hukuman mati terhadap banduan akhir, Francis Anthonysamy kerana membunuh seorang lelaki warganegara Bangladesh dengan cara memenggal kepalanya untuk ritual pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor, 30 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menggantikannya dengan hukuman penjara 35 tahun berkuat kuasa dari tarikh tangkapan pada 26 Ogos 1994. Lelaki itu telah dipenjara selama 30 tahun.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Nordin Hassan sebulat suara membenarkan permohonan semakan terhadap hukuman gantung yang dikekalkan oleh panel lain Mahkamah Persekutuan pada 21 Mac 2005.
Francis disabitkan membunuh Ali Ahammed Mohammed Ullah di antara pukul 9 malam dan 11.30 malam pada 19 Ogos 1994 di ladang kelapa sawit Kim Swee Leong, Kilometer 134 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan – Mentakab, Temerlong, Pahang.
Mayat mangsa tanpa kepala ditemui di ladang itu oleh seorang lelaki pada 23 Ogos 1994.
Keterangan kes menyatakan, Francis, 52, diberitahu oleh seorang bomoh bahawa dia boleh memenangi loteri empat digit sekiranya membawa kepala manusia untuk dipuja.
Mahkamah Tinggi Temerloh mendapatinya bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menjatuhkan hukuman mati pada 21 Oktober 1996 manakala Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan itu pada 18 September 2002.
Pada prosiding hari ini, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili pemohon berhujah agar anak guamnya tidak digantung kerana hukuman mati hanya wajar dikenakan terhadap `kes yang paling jarang daripada yang jarang berlaku’.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan diwakili Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya How May Ling dan Ng Siew Wee menghujahkan, pembunuhan dilakukan dengan cara yang amat kejam, ngeri dan ganas terhadap mangsa yang tidak berdosa.
Dalam penghujahan itu, pendakwaan menyatakan, mangsa yang merupakan rakan sekerja di ladang kelapa sawit itu tidak langsung mengesyaki niat buruk Francis ketika memberinya minuman beralkohol sebelum memancung lehernya menggunakan parang.
Semakan Francis adalah antara 17 permohonan untuk mengetepikan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat atas pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah dan mempamerkan senjata api dalam rompakan bank.
Mereka ialah Moh Chuan Pin, Mohamad Deraman, Ong Lock Soon, Johan Yeob Idris, M. Poobalan, K. Nanda Kumar, S. Satiaselan, Wan Bakri Wan Ahmad, Ranjit Singh, Nor Jumalis Abdullah, Ku Izham Ku Adnan dan A. Gunabalan selain empat rakyat Indonesia iaitu Fernandez, Mohd. Nor Fauzi, Burhanuddin Bardan dan Suhirman Maksom.
Kesemua tahanan berusia antara 45 dan 63 tahun dipenjara bagi tempoh 30 dan 35 tahun manakala empat banduan akhir iaitu Poobalan, Nanda Kumar, Fernandez dan Burhanuddin turut diperintah menjalani 12 sebatan. – KOSMO! ONLINE