KUALA LUMPUR – Orang ramai sudah mula memenuhi kaunter-kaunter pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyemak akaun masing-masing bagi pengeluaran bantuan i-sinar.
Tinjauan Kosmo! di ibu pejabat KWSP di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini mendapati ramai pemegang akaun datang untuk membuat semakan jumlah akaun mereka serta ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai i- Sinar.
Walaupun tarikh sebenar permohonan bagi pengeluaran i-Sinar masih belum diputuskan oleh kerajaan, namun orang ramai sudah mula membuat langkah awal bagi memastikan proses pengeluaran wang mereka berjalan lancar.
Seorang pengunjung, Wahidah Samad, 52, berkata, ternyata rakyat Malaysia memerlukan pengeluaran simpanan mereka di KWSP dan menyambut baik keputusan kerajaan yang telah membenarkan pengeluaran tersebut.
“Semalam saya sudah datang ke sini untuk urusan KWSP suami dan anak saya, hari ini nak uruskan semakan dan pembukaan i-akaun saya sendiri.
“Hari ini dan semalam memang ramai orang datang, nampaknya memang orang memerlukan wang ketika ini,” katanya. – K! ONLINE