fbpx

Tang Jie kecewa gagal teruskan kemaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG Jie (kiri) dan Ee Wei gagal meneruskan kemaraan pada Terbuka Malaysia selepas tersingkir di pusingan kedua hari ini. - Fariz Rusadio

KUALA LUMPUR – Aksi bawah prestasi sebenar yang ditampilkan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyaksikan mereka tersingkir daripada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Pada aksi pusingan kedua yang berlangsung sebentar tadi, beregu No.9 dunia itu terpaksa akur tewas dengan keputusan straight set 22-24, 14-21 kepada pasangan Jepun sedang meningkat naik, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Tang Jie nyata tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila sukar untuk menggambarkan kekalahan itu dengan kata-kata selain percaya pemain lawan menampilkan aksi lebih baik berbanding mereka.

“Saya masih belum boleh fikir mengenai permainan tadi, cuma rasa kecewa sahaja dengan permainan hari ini. Mereka adalah beregu yang bagus dan bermain lebih baik untuk mencatat kemenangan.

“Bagi saya, mereka ada kelebihan dari segala aspek dan saya juga masih belum bertenang selepas perlawanan. Justeru, saya tidak boleh cakap apa yang perlu diperbaiki dalam permainan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Pada saingan musim lalu, Tang Jie-Ee Wei melangkah ke pusingan suku akhir sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.

Sementara itu, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai terpaksa melupakan saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu lebih awal apabila tewas 15-21, 12-21 kepada Dechapol-Sapsiree.

Kekalahan tersebut menyaksikan Soon Huat-Shevon tewas buat kali ke-11 dalam 18 perlawanan kepada bekas beregu No.1 dunia itu.

Situasi sama turut menimpa perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei apabila bekas juara remaja dunia itu tumbang 15-21, 22-24 kepada pemain Indonesia, Gregoria Mariska Tunjung dalam tempoh 39 minit.

Untuk rekod, kali terakhir pemain Malaysia muncul juara perseorangan wanita pada kejohanan tersebut adalah menerusi Rosalind Singha Ang yang melakukannya 59 tahun lalu ketika menjuarai edisi 1965. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI