KUALA SELANGOR – Seorang ibu tunggal tidak menahan linangan air mata kesyukuran apabila menerima bantuan rumah teres daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Blok P, Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini hari ini.
Azizah Ahmad, 52, bersama dua anak perempuannya berusia 13 dan 22 tahun sebelum ini terpaksa menumpang di sebuah inap desa selama empat bulan.
Ini berikutan rumah pusakanya dihempap pokok pulai setinggi 27 meter pukul 2.30 pagi pada 14 Julai lalu.
Nenek kepada lapan cucu itu berkata, sumbangan itu secara langsung dalam membantunya menjalani kehidupan lebih selesa di rumah sendiri.
“Alhamdulilah, keperitan itu berakhir selepas rumah baru hasil bantuan LZS siap sepenuhnya di kawasan tanah berhampiran kediaman lama.
“Biarpun masih trauma, saya seperti orang lain yang turut mengidamkan rumah sendiri dan selesa untuk didiami keluarga,” kata asnaf itu ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Penyampaian kunci rumah teres satu tingkat itu disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop.
Turut menerima bantuan rumah adalah Masjaliah Johari, 43, dan Marseyamah Sijono, 68, masing-masing di Kampung Sungai Tengi Kanan dan Sungai Burong di sini.
Sementara itu, Saipolyazan berkata, bantuan tersebut antara ribuan rumah baharu berjumlah RM100 juta yang disalurkan pihaknya sejak 2010.
“Penerima bantuan itu rata-ratanya melibatkan mangsa bencana alam dan setiap rumah yang dibina bernilai antara RM80,000 hingga RM93,000.
“Bantuan penuh itu akan diberikan kepada beberapa golongan mengikut syarat dan kriteria ditetapkan LZS,” katanya. -K! ONLINE