KUALA LUMPUR – SME Bank menyasarkan untuk meluluskan pembiayaan berjumlah RM4 bilion tahun ini, yang mana RM2.5 bilion daripadanya diperuntukkan untuk kumpulan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kurang mendapat pembiayaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SME Bank, Datuk Aria Putera Ismail berkata, peruntukan tersebut dijangka bakal memenfaatkan lebih daripada 1,000 usahawan PKS.
Jelasnya, pihaknya telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM2.7 bilion sepanjang tahun lalu, yang mana kira-kira 90 peratus daripadanya diagihkan kepada PKS.
“RM2.5 bilion tahun ini untuk PKS, manakala selebihnya adalah pembiayaan komersial. Bagi pembiayaan komersial ini ada juga yang diterima oleh PKS, namun mereka ialah kumpulan yang memiliki perniagaan stabil dan layak mendapat pembiayaan daripada bank komersial lain.
“Fokus kami sebenarnya adalah untuk PKS yang kurang dan sukar mendapat pembiayaan daripada bank biasa,” katanya pada sesi lawatan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan di ibu pejabat SME Bank di sini, hari ini.
Aria berkata, antara sektor fokus pembiayaan pihaknya adalah sektor pertumbuhan tinggi yang telah dikenal pasti oleh kerajaan seperti teknologi, penjagaan kesihatan, pembinaan dan perkhidmatan.
Tambahnya, satu lagi bidang tumpuan SME Bank untuk tahun 2024 adalah program pemerkasaan usahawan, termasuk membantu mereka meluaskan pasaran ke luar negara termasuk United Kingdom dan Eropah.
“Setiap kali bertemu dengan PKS di pasaran, kami akan melihat untuk memberi perkhidmatan dari pelbagai sudut, yang pertama pembiayaan, kedua pembinaan kapasiti dan sekiranya melibatkan pasaran eksport, ada satu elemen lagi iaitu akses pasaran.
“Selain itu, kami juga mempunyai platform SME Xcess yang menemukan PKS dengan pihak pelabur, pengeluar dan pengimport dari luar negara terutamanya di Rantau Asia.
“Seramai 100,000 peengunjung telah melibatkan diri secara aktif dalam platform SME Xcess pada tahun lalu dan untuk 2024, kami menyasarkan jumlah penyertaan yang lebih tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE