fbpx

Harap isteri Aman Graseka mudahkan urusan suami – Ellie Suriaty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKTRES Elly Suriary berharap sahabat, pelakon Aman Graseka dapat kembali berlakon seperti dahulu.

PELAKON berkaliber, Ellie Suriaty terpaksa tampil mendedahkan situasi sebenar dilalui aktor, Aman Graseka yang khabarnya kini hidup dalam kesusahan sehingga terpaksa menagih  bantuah kewangan daripada rakan industri.

Ellie, 52, ketika dihubungi Kosmo! Online mendakwa, pelakon tersebut sebenarnya dikawal oleh isteri, Nur Amrina yang tidak membenarkannya untuk terbabit lagi dalam bidang lakonan selepas mengambil keputusan menetap di Kedah.

Kata Ellie, semuanya berpunca daripada sikap cemburu isteri apabila melihat Aman bergandingan dengan pelakon wanita lain sehingga menghalang aktor berkenaan daripada meneruskan kerjaya itu.

“Isteri dia yang tak bagi berlakon sebenarnya. Suruh Aman duduk kampung (Kedah). Isteri dia yang kawal semua.

“Tak payahlah nak besar-besarkan perasaan cemburu. Suami perlu cari nafkah untuk keluarga. Sepatutnya dia doakan yang baik-baik untuk suami dia bekerja. Cari rezeki Allah SWT untuk dia dan anak-anak,” kata Ellie.

Tambah bekas pramugari itu lagi, seorang pelakon lelaki pernah menghubungi Aman berkali-kali untuk mengetahui keadaannya selepas mengirim sejumlah wang, namun panggilan tersebutnya tidak dijawab.

“Ada seorang pelakon cuba menghubungi Aman berkali-kali namun panggilan telefon tidak diangkat. Beberapa hari kemudian, dia menerima panggilan video daripada seorang wanita dan tunjuk Aman sedang tidur. Tapi bila dikejut, tak bangun.

“Jadi betullah orang yang buat panggilan video itu adalah isterinya. Tapi, sampai sekarang kami tidak dapat bercakap dengan Aman.

“Saya pun tidak pasti sama ada mesej itu sampai kepada pengetahuan Aman atau tidak sebab telefon dia dipegang  isteri,” jelasnya.

Tambah Ellie atau nama lengkapnya Ellie Suriaty Omar, dia terpaksa mendedahkan perkara itu kerana berasa kasihan dengan Aman yang diserang netizen dengan kata-kata tidak elok.

“Bila perkara ini terjadi, saya tidak tergamak mendiamkan diri. Bila netizen mula bercakap buruk tentang Aman, saya tidak boleh biarkan sahaja.

“Kalau dia ambil keputusan untuk duduk kampung, saya memang tidak ada hak menghalang. Tapi apabila dia perlukan bantuan, sudah tentu saya kena tolong dan nak bercakap dengan dia. Tapi tak dapat,” katanya.

Dalam pada itu, Ellie turut meminta agar isteri kepada Aman supaya terbuka hati dan betimbang rasa membenarkan semula suaminya untuk terus mencari rezeki dalam bidang lakonan.

“Saya tahu yang meminta bantuan itu bukanlah daripada Aman, tetapi isterinya sebab dah terbukti melalui panggilan video yang diterima seorang kenalan industri. Cuma, saya minta janganlah sia-siakan bakat dan rezeki yang Allah SWT beri kepada Aman sebagai pelakon. Ini adalah sumber rezeki dia.

“Isterinya patut istiqamah dan berdoa supaya suaminya dimurahkan rezeki. Kalau cemburu sangat, ikut Aman turun ke set penggambaran kalau tidak boleh tengok suami berlakon dengan wanita lain.

“Saya bukan berkawan untuk masa senang sahaja. Jadi, saya harap isterinya memudahkan keadaan. Aman yang saya kenal sangat berbudi bahasa,” ujar Ellie.

Tegas pelakon filem Telaga Suriram itu lagi, dia tiada niat mahu menyibuk atau mengada-adakan cerita, cuma dia meminta agar isteri kepada Aman untuk lebih bertoleransi.

“Sebagai isteri yang sayangkan suami, sampai bila mahu halang Aman berlakon? Kalau betul ada jalankan perniagaan di Kedah, itu bagus. Tapi kenapa gunakan nama suami untuk meminta-minta?

“Bila kami hubungi, tak boleh nak bercakap. Perkara ini yang menjadi persoalannya sekarang. Saya terpaksa dedahkan perkara ini tidak mahu Aman dan Shiera (Sharifah Shahira) diserang netizen,” katanya.

Terdahulu, pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahira baru-baru ini mendedahkan Aman Graseka sedang berdepan masalah kewangan.

Menurutnya, buhan hanya dia bahkan rakan artis lain juga kerap menerima mesej daripada pelakon senior itu yang meminta sumbangan wang ringgit.

Aman atau nama lengkapnya Aman Shah Baharom Shah, 56, bagaimanapun mendakwa tidak tahu- menahu mengenai hal tersebut selain menyatakan dirinya baik-baik sahaja ketika dihubungi media.

Lantaran itu ruangan komen media sosial Sharifah Shahirah atau Shiera dibanjiri kecaman netizen yang memintanya berhenti menghebahkan aib orang andai mahu membantu.

Bagi mengelakkan lebih banyah tohmahan, Shiera menitipkan pesanan kepada orang ramai agar jangan pandai-pandai membuat tuduhan sekiranya tidak tahu cerita sebenar.

Menantu aktres veteran, Datin Maria Arshad itu turut mengingatkan semua individu jangan serkap jarang sebaliknya mambaca dahulu kronologi isu Aman sebelum melemparkan tuduhan melulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI