fbpx

Ketua Jabatan perlu pastikan kakitangan daftar Padu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat.

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Ketua Jabatan mengambil tanggungjawab untuk memastikan setiap kakitangan mendaftar Pangkalan Data Utama (Padu).

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, penjawat awam perlu menjadi contoh kepada masyarakat dalam memastikan kejayaan program Padu.

“Kita ada kira-kira 1.7 juta penjawat awam ketika ini dan sekiranya masing-masing mengambil tanggungjawab untuk mendaftar dengan lebih awal, Cuepacs yakin jumlah pendaftaran Padu akan meningkat dengan mendadak.

“Cuepacs difahamkan ketika ini jumlah pendaftaran baru sahaja mencecah 1 juta beberapa hari lalu. Penjawat harus menjadi contoh dan mereka harus mendahului dalam seruan kerajaan mendaftar Padu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Adnan berkata, Cuepacs melalui semua gabungan kesatuan sekerja akan mengambil peranan yang proaktif dalam memastikan maklumat yang tepat sampai kepada penjawat awam.

“Pengumpulan data-data penjawat awam ini amat penting bagi membolehkan kerajaan menilai kemampuan sebenar kewangan penjawat awam yang akan menjadi satu justifikasi bagi peningkatan gaji yang dicadangkan oleh Cuepacs.

“Sokongan daripada semua pegawai awam untuk segera mengambil tindakan mendaftar sistem Padu wajar dijadikan sebagai salah satu agenda utama dalam semua organisasi sektor awam pada awal tahun ini,” ujarnya.

Katanya lagi, Cuepacs juga menyeru supaya semua pihak di luar sana tidak menyebarkan gambaran salah mengenai sistem Padu terutama mengenai aspek keselamatan sistem tersebut.

“Semua pihak perlu yakin bahawa sistem yang dibina sepenuhnya oleh pasukan penjawat awam daripada Kementerian Ekonomi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Pelancongan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah selamat dengan meletakkan komitmen terhadap keselamatan dan privasi data sebagai keutamaan.

“Komitmen terhadap terhadap keselamatan dan privasi data turut menjadi keutamaan Padu seiring dengan saranan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) terutamanya dalam aspek penyimpanan maklumat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI