JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Span Menghubungkan Malaysia dan Singapura Bagi Projek RTS Link Antara Johor Bahru, Malaysia dan Singapura di sini hari ini.
Anwar dan Hsien Loong menandatangani plak yang disediakan sebagai gimik pelancaran majlis iaitu titik pertemuan jejambat marin projek berkenaan.
Detik bersejarah itu berlangsung di sempadan antarabangsa kedua-dua negara, khususnya di laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Projek RTS Link mula dibina pada Januari 2021 yang dijadualkan mengambil masa empat tahun, merupakan sistem tren ulang-alik berjarak sepanjang 4 kilometer (km) dengan dua stesen masing-masing satu di Bukit Chagar di sini dan di Woodlands, Singapura.
Jajaran RTS itu merangkumi jarak 2.7 kilometer (km) di Malaysia serta 1.3 km di Singapura, mampu menampung kira-kira 10,000 penumpang setiap jam.
Setakat 31 Disember lalu, projek ini berjalan mengikut jadual dan telah mencapai tahap kemajuan 65 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026, sebelum beroperasi awal tahun berikutnya.
Projek RTS Link dijangka akan meningkatkan hubungan erat kedua-dua negara khususnya dalam aspek ekosistem ekonominya yang saling melengkapi.-KOSMO! ONLINE