MOGADISHU – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan semalam bahawa sebuah helikopternya ‘terhempas’ di Somalia dan beberapa penumpang dijadikan tebusan oleh kumpulan militan Al-Shabaab.
Helikopter itu membawa sembilan penumpang dan kru apabila ‘terhempas semasa mendarat cemas’, kira-kira 70 kilometer ke tenggara Dhusamareb yang menjadi ibu kota negeri Galmudug, tengah Somalia, demikian menurut memo PBB yang dilihat oleh AFP.
Nahas berlaku di wilayah yang dipercayai berada di bawah kawalan Al-Shabaab. Seramai enam penumpang dilaporkan dijadikan tebusan oleh kumpulan militan itu.
Menurut maklumat yang dilihat AFP, seorang penumpang terbunuh tetapi punca kematiannya belum diketahui, manakala dua lagi melarikan diri ke lokasi tidak diketahui.
Mereka ialah kontraktor pihak ketiga dan bukan kakitangan PBB, kata memo sama. Seorang warga Somalia terlibat dalam nahas tersebut, manakala kewarganegaraan yang lain tidak dinyatakan.
“Semua penerbangan PBB di rantau itu digantung sementara sehingga diberitahu kelak,” katanya.
Ketika ditanya mengenai laporan itu, jurucakap PBB Stephane Dujarric berkata, nahas tersebut melibatkan helikopter kontrak PBB dan berlaku kelmarin di Galmudug, Somalia”.
“Usaha tindak balas sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita di New York.
Al-Shabaab mengetuai pemberontakan berdarah selama 16 tahun menentang kerajaan pusat yang lemah di Mogadishu. Kerajaan Somalia gagal menewaskan kumpulan pemisah Al-Shabaab walaupun mendapat sokongan tentera asing.
Kumpulan itu masih menguasai sebahagian besar kawasan luar bandar di Somalia. – AFP