KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas mengatasi beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di Axiata Arena hari ini.
Biarpun terpaksa bermandi peluh selepas tewas pada set pertama 20-22, namun beregu di ranking No. 4 dunia tersebut berjaya bangkit mencatat kemenangan dua set berikutnya, 21-13, 21-13 dalam tempoh satu jam dua minit.
Wooi Yik mengakui perlawanan tersebut bukan mudah kerana mereka mengambil pendekatan berjaga-jaga memandangkan lawannya yang berada di ranking No. 22 dunia pernah menumbangkan pasangan No. 1 dunia dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang tahun lalu.
“Benar kami memang berhati-hati dengan pasangan ini dan mereka berjaya mengatasi pemain No. 1 dunia (Wei Keng-Wang Chang) sebanyak dua kali. Saya rasa mereka akan jadi pasangan yang berbahaya pada satu hari nanti.
“Apapun, hari ini kami berdepan pasangan dari Denmark ini dengan strategi dan ia berlangsung dengan baik. Saya yakin selepas ini mereka pasti akan menjadi lebih kuat,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Hasil kemenangan tersebut, pasangan negara itu akan berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pada pusingan kedua esok selepas mereka berjaya menumpaskan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren 21-17, 22-20.
Tegas Aaron, dia tidak memandang mudah keupayaan rakan sepasukannya itu selepas masing-masing telah mengetahui ‘senjata’ rahsia apabila menjalani latihan bersama-sama sebelum ini.
“Ia akan bukan mudah kerana kami berlatih bersama-sama, masing-masing sudah mengetahui corak permainan sesama sendiri. Apa pun siapa yang menang yang penting pasangan Malaysia berjaya mara. Kami hanya berentap sesama diri kami sahaja,” kata Aaron.
Sementara itu, gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mempamerkan aksi garang apabila menyingkirkan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue dengan kemenangan straight set 21-17, 21-18, dalam tempoh 47 minit.
“Untuk hari ini, saya rasa tahun baru, musim baru, jadi semua orang mahu lebih fokus dan memenangi Jelajah Dunia pertama tetapi bagi kami, kejohanan ini lebih istimewa kerana beraksi di laman sendiri.
“Tetapi hari ini saya rasa kita tak fikir banyak mengenai laman sendiri, cuma mahu memenangi perlawanan sahaja,” kata Tang Jie, selepas memenangi perlawanan. KOSMO! Online.