KOTA TINGGI – Ibu kepada mangsa lemas di Kampung Perpat, Tanjung Sedili di sini tidak mengetahui anak keduanya mahu mandi parit selepas meminta izin untuk keluar rumah kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Suhana salman, 40, berkata, dia menjangkakan Muhammad Airell Iskandar, 14, keluar rumah untuk membeli kelengkapan motosikal memandangkan minatnya dengan motosikal.
“Hari ini dia tidak sekolah kerana ada pelajar SPM jalani peperiksaan. Sebelum minta izin keluar rumah, dia sedang menyembur cat motosikalnya. Selepas kawannya datang dia beritahu mahu keluar sekejap.
“Saya hanya agak dia mahu keluar cari barang motosikal, namun kira-kira pukul 12.30 ibu saya hubungi beritahu anak lemas. Saya sempat ke lokasi kejadian ketika jenazah anak belum ditemui. Lebih setengah jam kemudian baru jenazahnya ditemui, ” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Suhana berkata, salah seorang rakan anaknya memaklumkan mereka seramai lima orang ke parit itu dan semasa kejadian Muhammad Airell cuba untuk menyelamatkan Mohamad Azihan sebelum dia turut tenggelam.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, Muhammad Airell seorang anak yang pendiam, namun sejak kebelakangan inj dia menjadi seorang yang sangat manja terutama dengan dirinya dan suami.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kegembiraan lima remaja mandi di sebuah parit di Kampung Perpat, Tanjung Sedili di sini bertukar tragedi selepas dua darinya ditemui lemas tengah hari tadi.
Mangsa Muhammad Airell Iskandar, 14 ditemui kira-kira 1.35 tengah hari manakala rakannya Mohamad Azihan Baharum, 18 ditemui 10 minit kemudian dalam keadaan tidak bernyawa.-KOSMO! ONLINE