fbpx

‘Anak saya diarah rakam gambar dengan aksi tidak sepatutnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faizal ditemui pemberita di Kuala Selangor, hari ini.- FOTO: FIRDAUS M. JOHARI

KUALA SELANGOR – “Anak saya sampai mahu terjun bangunan, tetapi pelakunya belum dituduh,”

Demikian tegas seorang wanita berusia 50-an yang kesal apabila tiada sebarang perkembangan kes termasuk pertuduhan dibuat terhadap seorang guru yang didakwa melakukan gangguan seksual ke atas anak perempuannya.

Kejadian dikatakan berlaku pada 2019 ketika mangsa berusia 15 tahun dengan pelakunya adalah guru sebuah sekolah pada 2019.

Ibu mangsa memberitahu, anak perempuannya yang kini berusia 17 tahun terpaksa berdepan dengan trauma dan pernah menyatakan hasrat untuk melakukan sesuatu di luar kawalan.

“Anak saya masih di tingkatan tiga (ketika kejadian) dan menjadi kapten pasukan hoki sekolah. Dia kerap bertemu dengan jurulatihnya yang juga guru bahasa Melayu.

“Anak saya diarahkan merakam gambar dengan aksi tidak sepatutnya kononnya bagi kegunaan sukan hoki atas arahan guru terbabit.

“Kejadian sedemikian bukan sekali berlaku, tetapi lebih tiga kali sehingga anak saya trauma,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Peguam mewakili keluarga mangsa, Faizal Rahman berkata, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati hampir 40 orang termasuk 12 rakan mangsa mengaku pernah menerima nasib sama.

“Lebih mengejutkan, suspek pernah mengeluarkan kenyataan pengakuan melakukan perkara tersebut kepada pengetua sekolah.

“Kejadian dipercayai berlaku sejak 2016. Jadi, mengapa siasatan polis masih tiada perkembangan sedangkan bukti gambar dan pengakuan sudah ada,” tegasnya.

Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya telah menghantar surat berkaitan aduan kepada Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung perkara itu.

“Saman sivil pernah difailkan pada 16 November 2022 sebelum diarah diteruskan di Mahkamah Sesyen.

“Kita akan pohon kes dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi memandangkan terdapat perkembangan terbaharu yang diterima daripada Jabatan Peguam Negara,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Agus Salim Mohd. Alias menegaskan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Belum ada arahan pertuduhan dibuat dan TPR meminta polis mengambil beberapa tindakan sebelum merujuk semula kepada mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI