PETALING JAYA – Bangunan Panggung Istana Budaya yang menjadi pusat tumpuan para penggiat seni tanah air menganjurkan pementasan di Panggung Sari, akan ditutup mulai 15 Januari ini.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar berkata, penutupan itu telah disahkan oleh pengendali sepenuhnya iaitu Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR).
“Penutupan ini bertujuan untuk memberi ruang kepada kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan bangunan khususnya bumbung Istana Budaya.
“Ia dijangka dibuka pada tahun tersebut selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026),” katanya menerusi satu kenyataan.
Zubaidah berkata, dalam tempoh penutupan itu, Istana Budaya akan menganjurkan persembahan-persembahan menerusi Kempen Gerak ke seluruh Malaysia dengan produk-produk utamanya.
“Antaranya adalah Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dan Artistana.
“Kami sentiasa terbuka beri peluang kepada syarikat-syarikat tempatan sebagai rakan strategik (smart partnership) serta penggiat seni tanah air untuk bekerjasama dalam menganjurkan persembahan di dalam dan luar negara,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan boleh berhubung melalui e-mel [email protected] atau hubungi Unit Perhubungan Awam, Istana Budaya di talian 03-4026 5555. – KOSMO! ONLINE