PETALING JAYA – Guna kapasiti sebagai seorang da’i untuk mengajak mangsa keluar makan sebelum melakukan kegiatan terkutuk.
Itu dipercayai modus operandi seorang pendakwah muda yang kini masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan tujuh laporan membabitkan rogol dan cabul.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, hasil siasatan mendapati mangsa akan berkenalan dengan suspek menerusi mesej peribadi di Instagram sebelum dipelawa untuk berkenalan dan makan.
“Dalam tempoh pengenalan itu, suspek akan memperdayakan mangsa-mangsa dengan menggunakan kapasiti sebagai seorang da’i sebelum mempelawa mereka ke rumah.
“Suspek akan melakukan kegiatan terkutuk seperti dilaporkan mangsa ketika berada di rumahnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Menurutnya lagi, sehingga kini tujuh laporan diterima membabitkan suspek di sekitar Lembah Klang.
“Kita percaya ada lagi mangsa yang belum membuat laporan dan kita minta mereka tampil bagi membantu siasatan polis,” ujarnya. – K! ONLINE