fbpx

Konflik Palestin-Israel: Mesir tolak cadangan Zionis kuasai zon sempadan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR fail yang dirakam pada 2007 menunjukkan askar-askar Mesir berkawal di Koridor Salah al-Din bersempadan dengan Gaza. - AFP

KAHERAH – Kaherah menolak cadangan Israel yang mahukan ia diberi kuasa pemantauan lebih besar di zon penampan sempadan Gaza-Mesir, lapor laman berita The New Arab kelmarin.

Mesir berkongsi sempadan sepanjang 13 kilometer dengan Gaza, yang merupakan satu-satunya laluan tidak dikawal sepenuhnya oleh Israel.

Menurut tiga sumber keselamatan Mesir, Kaherah sebaliknya kini mengutamakan usaha untuk menaja gencatan senjata sebelum berbincang mengenai persediaan selepas perang di wilayah Palestin itu.

Selain Mesir, Qatar juga memainkan peranan utama dalam rundingan mengenai gencatan senjata baharu di Gaza dan berusaha memeterai perjanjian untuk membebaskan tebusan Israel yang ditawan Hamas dan kumpulan pejuang Palestin lain.

Sumber-sumber keselamatan itu berkata, ketika rundingan diadakan, Israel menyatakan ‘minat’ mengenai pemantauan keselamatan di Koridor Salah al-Din, sebuah zon penampan yang sempit di sempadan Gaza dan Mesir.

Rejim Zionis mahukan pihaknya diberi kuasa pemantauan lebih besar yang didakwa sebagai cara untuk mengelakkan serangan daripada kumpulan pejuang Palestin pada masa akan datang.

Seorang pegawai Israel yang enggan namanya didedahkan berkata, pengawasan bersama Rejim Zionis dengan Mesir di koridor tersebut adalah antara isu yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak.

Namun, apabila ditanya sama ada Mesir menolak cadangan tersebut, pegawai tersebut berkata: “Saya tidak mengetahuinya.”

Saluran berita Mesir, Al Qahera yang memetik satu sumber lain tanpa mendedahkan namanya berkata, laporan mengenai kerjasama antara Kaherah dengan Tel Aviv di koridor tersebut baru-baru ini adalah palsu.

Sumber-sumber Mesir berkata, para pegawai Israel sebaliknya meminta penglibatan untuk memantau kawasan itu termasuk berkongsi penggunaan teknologi pengawasan baharu Rejim Zionis.

“Para perunding Mesir kemudian menolak idea itu tetapi Kaherah berhasrat mengukuhkan lagi halangan fizikal di sempadannya.

“Mesir kini mengutamakan usaha bagi membolehkan satu perjanjian gencatan senjata dimeterai antara kedua-dua pihak berbanding membincangkan tentang isu selepas perang Gaza,” kata sumber berkenaan.

Kelmarin, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry berkata, keutamaan untuk Gaza kini adalah mencapai gencatan senjata, menghantar bantuan dan mengelakkan perpindahan penduduk Gaza ke negara itu.

Israel mengawal Koridor Salah al-Din sehingga 2005 sebelum ia menamatkan kehadirannya di Semenanjung Gaza. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI