LONDON – Bekas penyerang Chelsea, Timo Werner melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Tottenham Hotspur untuk tempoh sehingga penghujung musim ini.
Pemain RB Leipzig tiba di London untuk menjalani ujian perubatan dan menandatangani kontrak sebelum terbang ke La Manga untuk menyertai Spurs menjalani kem latihan musim sejuk.
“Kami sangat teruja untuk mengumumkan mengenai ketibaan Timo Werner secara pinjaman dari RB Leipzig. Pemain antarabangsa Jerman itu akan menyertai kelab ini sehingga penghujung musim dengan pilihan untuk mendapatkannya secara kekal.
“Werner akan menyarung jersi bernombor 16 sepanjang bersama pasukan ini,” kata Spurs menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan.
Urusan rundingan mengenai perpindahan tersebut mencapai kata sepakat pada Sabtu lalu apabila Spurs bersetuju untuk membayar gaji Werner sebanyak £4.5 juta (RM26.61 juta) sepanjang tempoh pinjaman.
Werner yang dijangka turun memperkuatkan pasukan itu pada aksi menentang Manchester United di Old Trafford awal pagi Isnin ini diletakkan tanda harga sebanyak £14.5 juta (RM85.74 juta) sekiranya Spurs mahu mendapatkannya secara tetap.
Pemain berusia 27 tahun itu tiba di Chelsea pada 2020 dengan nilai £47.5 juta (RM280.87 juta), namun bergelut untuk membuktikan kualiti apabila sekadar meledak 10 gol dalam 56 aksi di Liga Perdana Inggeris. – AGENSI