IPOH – Perak sedia menerima geran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran serta penanaman rumput stadium dengan hasrat meningkatkan kualiti sukan bola sepak negeri itu.
Peruntukan sebanyak RM500,000 kepada setiap negeri adalah bertujuan menyediakan kualiti padang yang lebih baik untuk memastikan Liga Malaysia kekal kompetitif.
Selain itu, negeri yang mengambil geran tersebut, pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berbesar hati untuk mengurniakan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada setiap pasukan bagi menampung kos penyelenggaraannya.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, bagi negeri Perak perbincangan perlu dibuat untuk menentukan siapakah penerima peruntukan itu.
Katanya ini memandangkan Stadium Perak kepunyaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) manakala pasukan Perak FC yang bersaing dalam Liga Super dimiliki oleh entiti berlainan.
“Kalau ada duit orang hendak beri, kenapa tidak? Siapa hendak bagi duit untuk membantu menyelenggara padang, stadium itu, kecil tapak tangan, stadium itu kita tadahkan.
“Kita tiada masalah hal itu (pemberian geran). Sebab bukan ada satu polisi apa-apa hendak dibuat melainkan untuk pembangunan bola sepak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2024 Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di sini hari ini.
KBS dilaporkan menawarkan geran berjumlah RM7 juta bagi menaik taraf sistem saliran dan penanaman rumput adalah sebagai persediaan menghadapi musim baharu bermula Mei ini.
Bagaimanapun, setiap negeri yang mahu mengambil geran itu perlu menunjukkan komitmen dan mampu melakukan penambahbaikan sebelum pertandingan bermula. – KOSMO! ONLINE