fbpx

Ada kajian universiti ‘terbiar’, tidak dimanfaatkan untuk rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

BANGI – Pelbagai kajian dihasilkan pihak universiti tidak sepatutnya ‘ditinggalkan’ di institusi sahaja, sekali gus boleh dimanfaatkan dalam membantu masyarakat mencari solusi dan meningkatkan sara hidup.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, sehubungan itu, pihak yang terlibat boleh memainkan peranan dalam membantu memastikan kajian-kajian dihasilkan pakar universiti tempatan kemudiannya dimanfaatkan kepada rakyat.

“Kadangkala kajian dibuat di peringkat universiti ini, kita tak nak ia ‘tinggal’ di universiti sahaja yang mana boleh diguna pakai untuk membantu mencari solusi kepada rakyat.

“Contohnya menghasilkan cendawan, ada teknik boleh dihasilkan dengan cepat. Jika tak sampai kepada komuniti, sayanglah sedangkan komuniti yang miskin dan terpinggir misalnya, mereka boleh dapatkan teknologi ini seterusnya membantu meningkatkan sara hidup selain pendapatan sampingan.

“Begitu juga teknologi tinggi yang mana pengeluaran peralatan atau instrumen untuk membantu mencari penyelesaian, tapi tak sampai kepada komuniti,” katanya ketika ditemui pada Dialog Kepimpinan Berasaskan Kemanusiaan di sini hari ini.

Beliau berkata, masalah dana antara faktor kajian-kajian dihasilkan tidak dapat dimanfaatkan selain tiada penghubung dalam mengkomersialkannya menjadi sesuatu produk.

“Ini menyebabkan kajian itu berhenti di situ kerana kepakaran ini hanya untuk mengeluarkan, tapi dia tak tahu bagaimana menghubungkannya kepada komuniti.

“Justeru, kita perlukan pelbagai pihak untuk membantu menghubungkannya. Contohnya kalau ahli perniagaan, dia boleh hasilkan produk dan pemasaran, tapi saintis misalnya mungkin boleh hasilkan, tapi tak tahu nak pasarkan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemindahan ilmu menjadi agenda penting kepada Kementerian Pendidikan Tinggi dalam usaha merakyatkan ilmu di peringkat atasan (universiti) turun ke peringkat bawahan (masyarakat).

Berhubung program dialog hari ini, ia anjuran Akademik Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept) dan Universiti Kebangsaan malaysia (UKM) yang mana Azlinda menyampaikan ucaptama bertajuk ‘kepimpinan memimpin bersama kemanusiaan dalam pendidikan tinggi’.

“Kepimpinan berpaksikan kemanusiaan penting kerana dalam menjalankan tugas dan peranan, kita tidak boleh lari berhubung dengan manusia yang ada sensitiviti sendiri, pemikiran, budaya serta suasana tersendiri. Jadi pemimpin harus bijak mengenali setiap individu yang bekerja dengannya,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, program tersebut mendapat lebih 300 penyertaan daripada universiti awam dan swasta, kolej-kolej, pertubuhan bukan kerajaan serta pihak industri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI