PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan keadaan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang lebih tertumpu sekitar Johor sehingga lewat tengah hari nanti.
MetMalaysia dalam laporan cuaca di Facebook memaklumkan, antara daerah yang berisiko adalah Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Jelasnya lagi, bagi negeri lain di Semenanjung Malaysia pula dilaporkan cuaca cerah dan baik di kebanyakan tempat.
Sementara itu, MetMalaysia turut berkongsi paparan carta angin semasa yang menunjukkan rantau negara masih menerima arah angin daripada timur laut dengan kelajuan 10 sehingga 30 kilometer sejam (Kmsj).
“Namun begitu, berdasarkan analisis model-model cuaca, MetMalaysia meramalkan penumpuan angin di selatan Semenanjung dan selatan Sarawak bermula esok.
“MetMalaysia juga telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan selatan dan tengah Sarawak yang akan berkuat kuasa bermula esok sehingga 12 Januari nanti,” ujarnya.
Berkata lanjut, ekoran amaran yang dikeluarkan tersebut, jabatan itu menasihati penduduk setempat untuk lebih berhati hati dan bersiap siaga dengan kemungkinan banjir yang mungkin berlaku. – KOSMO! ONLINE