LANGKAWI – Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala bapa saudaranya parah setelah motosikal yang mereka naiki terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Chandek Kura, di sini pada pukul 5.16 petang semalam.
Mangsa, Muhammad Wassim Dayyan Amyrul Amry, 11, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM), di sini.
Penunggang motosikal jenis Yamaha Y15Z, Mohamad Iqmal Noor Din, 25, yang juga bapa saudara kanak-kanak terbabit kini menerima rawatan di zon merah hospital sama akibat kecederaan di kepala dan bahu.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 51 tahun dari arah Jalan Batu Belah Batu Bertangkup hendak keluar simpang ke Jalan Chandek Kura.
“Motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dari Kuah ke arah Jalan Chandek Kura dipercayai telah melanggar belakang sebelah kanan lori tersebut lalu menyebabkan kemalangan dan mereka terperosok di bawah kenderaan berat itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shariman berkata, polis turut menahan pemandu lori terbabit yang didapati positif dadah jenis tetra hydrocannibol (THC).
“Permohonan reman akan dibuat terhadap pemandu lori itu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE