fbpx

Mangsa banjir kembali ke PPS selepas dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramlah (dua dari kiri) dan Norhashimah (kanan) kembali semula ke PPS SK Changkat Lobak pada pukul 8 malam semalam.

BAGAN SERAI – Seramai 21 orang mangsa banjir daripada enam keluarga di Kampung Matang Tengah di sini kembali dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak pada pukul 8 malam tadi.

Mangsa banjir, Ramlah Said, 70, berkata, mereka sekeluarga baru sahaja pulang ke rumah pada petang Sabtu lalu setelah PPS SK Changkat Lobak ditutup secara rasmi pada pukul 5 petang.

“Makcik baru pulang ke rumah Sabtu lalu setelah duduk di PPS SK Changkat Lobak bersama anak dan cucu selama seminggu.

“Tak sangka pula air banjir datang sekali lagi dan memasuki rumah makcik pada pukul 5 petang semalam,” katanya ketika ditemui di PPS SK Changkat Lobak.

Menurut Ramlah, air memasuki ke dalam rumahnya sedalam kira-kira 0.3 meter menyebabkannya mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke PPS semula.

Ujar anaknya, Norhashimah Shafie 33, kepenatan kerana mengemas dan mencuci rumah pada pagi Ahad lalu belum lagi hilang dan kini kembali semula ke PPS.

“Baru beberapa hari saya kembali bertugas di Hospital Taiping, hari ini saya terpaksa mengambil cuti kecemasan semula akibat banjir yang melanda,” katanya.

Menurut Norhashimah, dia tidak membawa anaknya, Qasrina Syakeela Mohd Firdaus yang berusia 5 bulan ke PPS SK Changkat Lobak dan ditinggalkan di rumah pengasuh di Kampung Matang Tengah atas faktor keselamatan.

Seorang Lagi Mangsa, Zaliza Basri, 45,  berkata, dia bersama suami serta empat orang anak adalah antara keluarga yang terawal sekali yang dipindahkan di PPS SK Changkat Lobak setiap kali banjir melanda di kawasan Kampung Matang Tengah.

“Kami sekeluarga sudah lali dengan keadaan seperti ini. Memang penat membersihkan rumah tapi apakan daya, rumah kami sekeluarga berada di tempat yang rendah dan menjadi yang pertama dinaiki air di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana melaporkan, selain di PPS SK Changkat Lobak, satu lagi PPS masih beroperasi iaitu di SK Titi Gantung, Parit yang menempatkan 10 mangsa banjir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI