GEORGE TOWN – Tiada sebarang kes berkaitan rasuah direkodkan melibatkan penjawat awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sepanjang tahun lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Rosli Isa berkata, ia merupakan satu pencapaian yang baik bagi kerajaan negeri serta penjawat awam Pulau Pinang.
“Berdasarkan rekod di Pulau Pinang tidak ada apa-apa kes rasuah berkaitan kerajaan negeri, atau penjawat awam yang diambil tindakan tata tertib melibatkan rasuah.
“Tuduhan-tuduhan memang ada berlaku sebelum ini, dan saya berpesan kepada semua bahawa kita berhubung rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kita kena pastikan kita bekerja dengan tulus ikhlas serta tidak berlaku sebarang penyelewengan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri majlis perhimpunan tahunan anggota perkhidmatan awam bilangan 1 bagi tahun ini. Turut hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Menurut Rosli, penjawat awam perlu menjaga imej kerajaan negeri dan itulah tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan sebagai pemegang amanah.
“Ini satu pencapaian yang baik dari kerajaan negeri, malah Laporan Audit Negara juga menyatakan bahawa Pulau Pinang adalah antara negeri terbaik yang tidak mempunyai sebarang rekod melibatkan rasuah,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, adalah menjadi kewajipan undang-undang supaya semua kakitangan awam memberi kerjasama jika terdapat aduan atau siasatan mengenainya.
Tambahnya, dalam usaha melaksanakan segala dasar, program dan projek yang telah dirancang penjawat awam adalah dituntut untuk bersikap adil, telus dan efisien dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Rasa tanggungjawab serta patriotisme dalam melaksanakan tugas perlu sebati dalam penjawat awam dengan kewajipan menyimpan segala rahsia kerajaan serta menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara melebihi kepentingan peribadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE