PETALING JAYA – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyarankan penduduk negeri itu yang akan terjejas bekalan air minggu depan tidak menggunakan air yang disediakan di tangki simpanan untuk tujuan minuman dan masakan.
Beliu yang juga Ahli Parlimen Bagan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata, penduduk terbabit disarankan menggunakan air simpanan sendiri bagi tujuan minuman dan memasak menjelang gangguan air berjadual minggu depan.
“Harus diingatkan bahawa biarpun air yang dibekalkan ini tidak berbau, ia tetap tidak sesuai untuk kegunaan minuman atau bagi kegunaan memasak.
“Gunakan air yang disimpan untuk minuman dan kegunaan memasak. Bersama-sama mengharungi krisis air dengan berjaya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Media sebelum ini melaporkan 590,000 akaun pengguna Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bakal mengalami gangguan bekalan air berjadual selama tempoh berkenaan susulan kerja pembaikan paip segera di Loji Rawatan Air Sungai Dua.
Rentetan itu, satu klip video memaparkan Guan Eng yang juga Pengerusi DAP memberi teguran kepada ketua eksekutif syarikat air negeri pada sesi taklimat tertutup tular di media sosial.
Terdahulu, Guan Eng berkata, bagi memastikan kualiti air yang dibekalkan adalah terjamin, beliau turun sendiri untuk memeriksa bau air yang disediakan di tangki-tangki simpanan air tersebut.
Menurut beliau, tangki simpanan tersebut diaturkan pihaknya di Dewan MPKK Bukit Bendera, Dewan MPKK Kampung Baru dan Dewan MPKK Taman Reservoir dalam kawasan KADUN Air Putih.
“Pemeriksaan serupa juga dijalankan dalam kawasan Parlimen Bagan. Sekiranya air yang anda simpan di rumah telah kehabisan, anda boleh mengambil air dari tangki air ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE