KUALA LUMPUR – Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan antarabangsa apabila perlawanan tersebut yang berlangsung dari 19 hingga 26 Mei itu di Stadium Titiwangsa itu bakal memperkenalkan sistem ranking dunia buat julung kalinya.
Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Datuk Abdul Halim Kader berkata, tujuan utamanya pihaknya untuk mewujudkan sistem ranking dunia pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 itu bagi mewujudkan persaingan yang lebih kompetitif.
Tegas Halim, dengan adanya sistem ranking dunia tersebut pasukan yang bertanding di Kuala Lumpur akan menghantar skuad terbaik mereka memandangkan sistem ranking tersebut bakal terpakai pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya, Jepun pada 2026.
“Pada mesyuarat jawatankuasa yang dilangsungkan pada sebelah pagi dan kita telah menerima cadangan daripada PSM sendiri untuk menggunakan sistem ranking ini dan kita bersetuju dengan cadangan tersebut.
“Kita membuat kemaskini peraturan ini agar ia juga turut terpakai di Sukan Asia Nagoya 2026 dan juga nanti tiada mana-mana negara sewenang-wenang boleh mengambil bahagian jika mereka tiada dalam ranking dunia.
“Sebab itu, sebagai permulaan ini kita mahu sistem ranking digunakan di Malaysia agar kejohanan tersebut lebih berprestij dan hanya pasukan terbaik akan beraksi di Malaysia.
“Kita tidak mahu pasukan cacamerba sertai Piala Dunia ini. Jika kita dapat kesan seperti 16 pasukan yang bertanding ini menghantar skuad biasa kita tidak akan benarkan penyertaan mereka pada kejohanan ini,” katanya pada sesi sidang media di hotel terkemuka di sini hari ini.
Tambahnya, sistem mata untuk mendapatkan ranking dunia ini akan terpakai di dalam beberapa kejohanan utama seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Kejuaran Asia dan King’s Cup.
“Perkara ini juga dalam proses kemaskini kami (Istaf) mendapatkan pengiktirafan daripada OIC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan bila sepak takraw masuk Sukan Olimpik nanti, kita boleh tunjukkan sistem sudah diguna pakai,” tambahnya.
Kejohanan berkenaan akan mempertandingkan tiga acara dan acara berpasukan menjadi tumpuan biarpun kategori regu dan double turut dipertandingkan.
Sebanyak 10 negara sudah menyatakan kesediaan untuk beraksi di Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw antaranya Thailand, India, Myanmar, Taiwan, China, Vietnam, Brunei, Singapura, Jepun dan Malaysia.
Manakala dua negara lagi seperti Indonesia dan Filipina belum lagi beri sebarang keputusan biarpun dilaporkan akan ke Kuala Lumpur. Sementara itu, pasukan seperti Jerman, Eropah dan Amerika Syarikat turut menyatakan kesediaan tetapi akan menyertai acara berlainan. -KOSMO! Online