BANGKOK – Polis menahan seorang lelaki di Sa Kaeo, rantau Isaan kerana didakwa membunuh dan memperkosa seorang nenek berusia 75 tahun, lapor laman berita Thaiger semalam.
Suspek, Somchai Buasing, 45, mengaku melakukan perbuatan itu selepas melihat mangsa di tepi jalan.
Dia juga mengaku mengheret mangsa ke arah ladang tebu, menamatkan riwayatnya menggunakan batu dan menyerang mangsa secara seksual.
Menurut cucu mangsa, Sittichai, neneknya menyara hidup dengan mengumpul dan menjual barangan kitar semula.
Dalam kejadian tersebut, mangsa meninggalkan rumah pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) untuk mengutip botol dari sebuah pondok polis berdekatan.
Namun, disebabkan wanita itu tidak pulang ke rumah sehingga pukul 2 petang (waktu tempatan), Sittichai bertindak mencari neneknya sebelum menemui mangsa di ladang tebu dalam keadaan tidak bernyawa.
Turut ditemui adalah sebuah beg mengandungi peralatan binaan, pakaian dan sebilah kapak yang dipercayai milik suspek.
Menurut polis, suspek tiba di kawasan tersebut empat hari lalu dan berlindung untuk sementara waktu di pondok polis tersebut.
Dia turut meminta makanan dan minuman daripada anggota polis bertugas sebelum menghilangkan diri selepas insiden tersebut.
Polis berjaya menemui suspek semalam di sebuah kawasan tidak jauh dari lokasi kejadian sebelum dia mengaku melakukan jenayah itu. – AGENSI