JAKARTA – Seorang wanita di Kutai Barat, wilayah Kalimantan Timur menjadi perhatian pengguna media sosial kerana mengahwini abang iparnya sendiri, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Wanita dikenali sebagai Sinta itu memuat naik gambar yang memaparkan perkahwinan kakaknya bersama abang ipar yang kini suaminya, pada 2015.
Gambar kedua pula menunjukkan dia berkahwin dengan lelaki sama pada tahun lalu.
“Tidak pernah disangka,” katanya dalam keterangan hantaran tersebut.
Menurut Sinta, dia berkahwin dengan abang iparnya selepas kakaknya meninggal dunia.
Tindakan tersebut turut dikenali sebagai salin tikar, di mana seorang lelaki mengahwini saudara perempuan isterinya selepas kematian si isteri.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan punca kematian kakak Sinta. – AGENSI