MELAKA – Sepasang suami isteri dari Pantai Kundor di sini, terpaksa menerima hakikat mengenai anak kelima mereka yang disahkan menghidap leukemia atau kanser darah.
Menurut Syarafuddin Ismail, 35, Nur Syalia, 9, yang merupakan anak kelima daripada enam beradik menghidap penyakit berbahaya itu sejak tahun 2019.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori bergaji RM1,800 sebulan berkata, anaknya dikesan menghidap leukemia sewaktu berusia empat tahun.
“Perubahan berlaku pada anak saya apabila tapak tangan seperti tidak ada darah sebelum dia mendapat rawatan di wad pediatrik Hospital Melaka dan doktor mengesahkan ada sel darah kanser.
“Doktor menyarankan saya mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tunku Azizah (HTA) di Kuala Lumpur sebelum anak disahkan menghidap leukemia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelam, Pantai Kundor di sini kelmarin.
Katanya, hasil daripada kimoterapi yang dijalankan di HTA, ada khabar gembira apabila doktor mengesahkan anaknya itu bebas penyakit berkenaan.
“Dalam tempoh beberapa tahun anak saya hidup seperti biasa, tetapi pada awal Disember lalu, ada berlaku perubahan mendadak pada kesihatan Nur Syalia apabila seluruh badannya pucat seperti mana yang pernah berlaku pada 2019,” ujarnya.
Katanya, dia dengan segera membawa anaknya mendapat rawatan di Hospital Melaka pada 3 Disember sebelum keesokan harinya terpaksa dipindahkan ke HTA untuk rawatan lanjut.
“Saya betul-betul tergamam dan sedih melihat anak saya belum pulih lagi daripada penyakitnya dan kini terpaksa berulang-alik semula ke HTA untuk mendapat rawatan seperti pada 2019,” katanya.
Lebih mengejutkan katanya, doktor mengesahkan sel kanser anaknya yang bersekolah di tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam kembali aktif dan situasi kali ini lebih serius serta memerlukan rawatan rapi untuk anaknya pulih.
Katanya, sewaktu rawatan pertama, dia mengeluarkan duit simpanan berjumlah RM50,000 demi menyelamatkan nyawa anaknya itu.
Syarafuddin berkata, dia memerlukan bantuan daripada orang ramai kerana perlu mendapat ubat sebotol berharga RM8,500 dan doktor menyarankan untuk membeli sebanyak tujuh botol melibatkan kos RM59,500.
Bagi mereka yang ingin membantu meringankan beban keluarga Nur Syalia, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Bank Islam milik Syarafuddin Ismail (04042021778937) atau berhubung dengannya di talian 011-31981878 atau isterinya, 011-31281878.