fbpx

Maaf, tiada penambahan hari konsert – Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI memaklumkan bahawa tiada sebarang penambahan hari untuk konsertnya, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung Mac depan.

KUALA LUMPUR – “Saya minta maaf, tiada penambahan hari untuk konsert saya pada 9 Mac nanti.”

Itu kata penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza apabila dengan berat hari mengumumkan tidak dapat menambah bilangan hari konsertnya atas faktor kekangan waktu.

Siti, 45, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia sedia maklum dengan permintaan peminatnya yang meminta untuk menambah bilangan hari konsert, selepas ramai gagal mendapatkan tiket konsertnya, Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang habis terjual dalam masa dua jam pada 21 Disember lalu.

“Saya minta maaf, dengan berat hati saya terpaksa memberitahu tidak dapat menambah bilangan hari atau tiket konsert atas faktor kekangan waktu.

“Seperti yang semua sedia maklum, jika saya adakan pada 10 Mac, tarikh tersebut sudah terlalu hampir dengan bulan Ramadan. Sesi latihan terakhir teknikal dan produksi konsert pula pada 8 Mac.

“Saya sudah cuba semasak-masaknya untuk menambah satu hari lagi atau awalkan tarikh. Tapi masih tidak boleh,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelantun lagu Nirmala itu, dia berharap kekecewaan peminat yang tidak dapat membeli tiket konsertnya itu berbalas dengan penganjuran konsert lain pada masa akan datang.

“Untuk konsert seterusnya, saya harap peminat saya akan lebih teruja dan bersedia. Jika diberikan ruang dan kesempatan, insya-Allah saya akan buat konsert untuk dua hari,” katanya.

Dalam masa sama, Siti yang ditemui semasa sidang media konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di sini, hari ini turut memaklumkam, penyanyi Judika bakal menjadi penyanyi undangan pada konsertnya yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil nanti.

“Pada kesempatan ini, saya juga ingin umumkan penyanyi undangan saya iaitu, Judika, sahabat baik saya bakal menemani saya nanti,” katanya.

Tambah Siti lagi, sebahagian jualan tiket konsertnya itu akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu umat Islam di Palestin.

Pada 21 Disember lalu, jualan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam selepas dibuka untuk jualan.

Rata-rata peminat yang gagal mendapatkan tiket konsert penyanyi nombor satu negara itu melahirkan rasa kecewa dan memohon agar Siti menambah bilangan hari konsertnya menjadi dua hari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI