PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengemas kini amaran hujan berterusan peringkat waspada melibatkan negeri Pahang dan Johor berkuat kuasa hari ini sehingga esok.
Menurut perkongsian MetMalaysia di Facebook, amaran hujan berterusan peringkat waspada diramal berlaku di Pahang (Pekan dan Rompin) dan Johor (Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Dalam kenyataan sama, hujan lebat berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku di negeri Sarawak terutamanya kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei (Sarikei) dan Mukah mulai Khamis hingga Jumaat ini.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin timuran dijangka berlaku di Pahang dan Johor sehingga 9 Januari serta di Sarawak sehingga 12 Januari.
“Keadaan ini boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE