KUALA LUMPUR – Suasana hiba menyelubungi perarakan keluar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perarakan keluar pasangan diraja itu dengan menggunakan kereta kuda merupakan simbolik salam perpisahan terakhir warga ATM di atas tamat tempoh rasmi perkhidmatan Seri Paduka Baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-16.
Ia diiringi 14 Skuadron Istiadat Berkuda, Kor Amor Diraja serta gabungan pancaragam ATM dan ‘brassband’ Tentera Darat Malaysia (TDM) sempena Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI di, Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.
Seri Paduka Baginda berdua kemudian sempat beramah mesra dengan warga ATM sebelum berangkat pulang pada pukul 12.30 tengah hari.
Turut hadir, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin, dan timbalannya, Adly Zahari serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman.
Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini akan digantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. – KOSMO! ONLINE
@kosmoonlineAl-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diarak keluar menggunakan kereta kuda sebagai simbolik salam perpisahan terakhir warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di atas tamat tempoh rasmi perkhidmatan Seri Paduka Baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-16 di Kem Perdana Sungai Besi, hari ini.