fbpx

1MDB: Najib tidak puas hati, larang dokumentari `Man On The Run’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAN ON THE RUN merupakan sebuah filem dokumentari tentang skandal 1MDB yang masih belum selesai sehingga ke hari ini.

KUALA LUMPUR – Tayangan dokumentari di perkhidmatan penstriman, “Man On The Run” yang menyentuh mengenai skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi tumpuan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ia apabila pihak pembelaan hari ini membangkitkan isu subjudis, apabila menyatakan dokumentari hampir dua jam itu dan mula ditayangkan di Netflix bermula 5 Januari lalu turut bersifat menghina mahkamah kerana perbicaraan masih berjalan.

Menurut peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, lebih serius apabila bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas juga memberi, mengambil bahagian dan membuat kesimpulan di luar mahkamah.

“(Pengarang Sarawak Report) Clare Rewcastle juga mengeluarkan pelbagai kenyataan, sebut mengenai AS$681 yang didakwa dicuri tetapi tak sebut AS$621 juta telah dipulangkan dan berbagi kenyataan terhadap Najib termasuk Najib akan ambil apa juga tindakan bagi sesiapa yang menentangnya,” kata Muhammad Shafee.

Sehubungan itu, Muhammad Shafee memohon agar pihak pendakwaan mengambil langkah sewajarnya berhubung dokumentari terbabit.

Tambahnya, beliau juga telah mendapat arahan daripada Najib untuk memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap Tommy dan Clare.

Man On The Run telah ditayangkan di pawagam di Singapura pada 5 Oktober 2023 dan telah ditayang di pawagam tempatan pada 19 Oktober tahun lalu.

Dokumentari arahan Cassius Michael Kim itu turut memaparkan temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penerbit dan Ketua Pegawai Eksekutif The Edge, Ho Kay Tat dan bekas pegawai PetroSaudi International Ltd, Xavier Andre Justo.

Selepas 1 jam lima minit, dokumentari Man On The Run turut memaparkan temu bual dengan Najib mengenai skandal tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu, beliau hanya mengetahui mengenai dokumentari tersebut apabila dimaklumkan mengenainya pagi ini.

Ujarnya, beliau perlu menonton dokumentari berkenaan terlebih dahulu sebelum melaporkan kepada Peguam Negara dan mendapatkan arahan lanjut.

Ahmad Akram turut menyarankan kepada barisan pembelaan untuk menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung dokumentari tersebut.

Muhammad Shafee berkata, beliau akan menulis surat kepada kedua-dua agensi itu secepat mungkin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI