PETALING JAYA – Tindakan berani seorang lelaki berusia 50-an yang terus terjun menyelamatkan seorang wanita yang hampir lemas bersama Myvi dipuji orang ramai.
Menerusi satu hantaran di Facebook, ‘hero’ tersebut yang dikenali sebagai Cho Ngiam Chong tidak bercakap banyak sebaliknya terus terjun untuk menyelamatkan wanita tersebut.
Difahamkan, wanita tersebut berdepan dengan situasi cemas dihanyutkan arus deras setelah kereta Myvi yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke dalam longkang besar di di Kilometer 42.5 Jalan Johor Bahru, Mersing.
“Tanpa fikirkan keselamatan diri, dia terus terjun tak cakap banyak. Dalam masa lima saat, wanita itu diselamatkan dan dibawa ke tebing yang ada pegangan.
“Refleksi dan kepantasan dia macam orang muda. Sikap berani di tempat yang betul adalah pengajaran yang terbaik daripada pak cik ini. Terima kasih hero. Saya tabik hormat,” tulis Jeff di laman Facebooknya.
Meninjau ke ruangan komen, kebanyakan pengguna memuji sikap berani Cho.
“Pak cik ini layak menerima pingat keberanian,” komen Yoona Ramli.
“Benda macam inilah yang sepatutnya ditularkan, bukannya yang diviralkan benda entah apa-apa,” komen Anur Hawa.
“Kita belum tahu siapa yang selamatkan kita saat kita susah, saat kecemasan, saat nyawa melayang. Entah-entah bukan orang Melayu dan mungkin Allah hantarkan orang Cina atau India. Sebab itu hidup jangan ‘racist’ (perkauman),” tulis Bam Mie.- KOSMO! ONLINE