ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa dirinya adalah sasaran sebenar pihak tertentu yang cuba mencipta plot kononnya berlaku kes rasuah dalam Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Beliau yang juga Presiden KFA berkata, penahanan empat individu termasuk CEO KFA, Zulkifli Che Haron yang disyaki meminta dan menerima rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanyalah satu bentuk ‘aksesori’.
Menurutnya, beliau dijadikan sasaran kerana tindak-tanduknya sebelum ini yang dilihat tidak seiring dengan pihak berkenaan.
“Mereka itu (individu ditahan) semua aksesori saja tetapi sasaran sebenarnya saya. Nak cari kes saya berbulan-bulan ‘pulun’ tetapi tak jumpa.
“Hangpa nak apa? Nak kebenaran atau nak kenakan orang? Kebenarannya hangpa dah jumpa yang Sanusi tak ada kes tetapi hangpa adakan juga. Salah satunya mempamerkan persepsi dan membina naratif bahawa di Kedah ini banyak rasuah termasuk dalam bola sepak,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bersama Penjawat Awam Negeri di Dataran Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, tindakan itu adalah satu bentuk penganiayaan selain turut memberi kesan kepada KFA yang sedang menanggung beban hutang selain menampung perbelanjaan pasukan futsal, piala presiden dan belia.
“Sebelum ini, ada pihak yang sudah menyatakan persetujuan untuk menyumbang kepada KFA tetapi apabila cerita ini dibuat, mereka jadi takut dan tak mahu beri kerana kononnya berlaku penyelewengan.
“Hakikatnya perkara itu tak berlaku kerana duit tersebut ada dalam KFA tetapi tiba-tiba dituduh rasuah. Kalau duit masuk poket empat orang itu, bolehlah dituduh rasuah tetapi wang itu sebenarnya ada pada KFA dan digunakan untuk bayar hutang, rasuah apa begitu?” soalnya.
Muhammad Sanusi dalam pada itu memaklumkan, beliau tidak pernah dipanggil oleh mana-mana pihak termasuk SPRM untuk diambil keterangan berhubung kes tersebut.
Namun katanya sekiranya diminta memberi kerjasama, beliau bersedia untuk melakukannya ’28’ jam sehari.
“Bila-bila masa saja dan hangpa nak tanya apa? ‘Mai’ saya nak jawab. Duit itu pun sebenarnya bukan RM6 juta sebaliknya RM5 juta saja. Sepatutnya ada pihak lain yang kena, bukan empat orang ini. Dalam empat orang yang ditahan itu pun, cuma seorang saja uruskan KFA manakala tiga yang lain tak ada kaitan dengan KFA,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE